JENDELA FASA 1 GIAT DILAKSANAKAN BAGI TINGKATKAN KESALINGHUBUNGAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 kini sedang giat dilaksanakan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, usaha itu bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara termasuk di Negeri Johor khususnya DUN Pasir Raja.

“Inisiatif JENDELA Fasa 1 bagi DUN Pasir Raja merangkumi perancangan pembinaan empat menara pemancar 4G baharu, menaik taraf 56 stesen pemancar kepada teknologi 4G, penyediaan sambungan gentian optik kepada 5,526 premis yang dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku ke-empat tahun 2023,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail mengenai status pelaksanaan internet dan komunikasi di kawasan DUN Pasir Raja.

Norlizah berkata, sehingga suku ketiga tahun 2022, status perkembangan semasa pelaksanaan JENDELA Fasa 1 di DUN Pasir Raja telah siap keseluruhan kerja menaik taraf stesen pemancar sebanyak 56 buah.

Ujarnya, terdapat empat perancangan bagi tapak menara baharu yang masih belum siap, diikuti sebanyak 4,068 premis telah siap ketersediaan sambutan gentian optik berbanding 5,526 premis yang dirancang.

“Lokasi bagi pembinaan empat buah menara baharu adalah Kampung Tai Hong, Kampung Baru Sungai Telor, FELDA Bukit Ramun dan Desa Mahkota, Kampung Rantau Panjang.

“Usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari masa ke masa,” katanya.

Beliau memberitahu JENDELA Fasa 2 akan memberi tumpuan untuk merapatkan jurang digital yang tidak tercapai ketika Fasa 1.

“Maklumbalas daripada orang awam bagi kawasan secara spesifik yang masih mempunyai masalah perkhidmatan adalah amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

“Sebarang aduan yang berkaitan kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi boleh disalurkan terus kepada portal aduan SKMM menerusi pautan laman web http://jendela.my atau https://aduan.skmm.gov.my.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor