PEMANGKU SULTAN JOHOR GEMBIRA, BANGGA DENGAN PENCAPAIAN EKONOMI NEGERI

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat hadir merasmikan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar | Foto Jabatan Penerangan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan rasa gembira dan bangga dengan pencapaian ekonomi negeri yang memacu Johor sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi negara.
Baginda bertitah percaya rakyat Johor akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan menerusi trend pertumbuhan ekonomi negeri pada ketika ini selain berharap prestasi itu diteruskan agar Johor terus berkembang maju dan dicontohi di Malaysia.
Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku pertama tahun ini yang didorong oleh pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menerusi sokongan dan kerjasama padu antara Kerajaan Negeri dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, terdapat projek-projek baharu bernilai RM23 bilion sedang dalam perancangan setakat April lalu.
Selain itu, Johor turut meneruskan prestasi positif hasil negeri pada tahun lalu iaitu RM2.1 bilion apabila merekodkan pertumbuhan sebanyak RM598 juta – 29.84 peratus lebih tinggi berbanding anggaran ditetapkan Kerajaan Negeri pada suku pertama 2025.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#WTN
#KuasaBesarBaharuEkonomi
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor