PEMBANGUNAN PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN PACU HALA TUJU 5 TAHUN


Sesi Menandatangani Piagam Projek Pembangunan PSP PSUKJ dan PBT Negeri Johor 2023-2027 telah berlangsung antara Kerajaan Negeri dan MAMPU.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis ‘Kick-Off’ dan Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (PSUKJ) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor 2023-2027 telah berlangsung semalam.

Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Negeri Johor, Dato’ Mohamed Ridha Abdul Kadir berkata, PSP amat diperlukan bagi memandu hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan Kerajaan Johor selaras dengan Pelan Strategik Organisasi PSUKJ dan PBT.

Menurut beliau, hala tuju yang strategik dan pelan tindakan yang mantap akan memastikan agenda pendigitalan kerajaan negeri berjaya dilaksanakan.

“Antara strategi utama yang perlu diberi fokus oleh PSP adalah memodenkan dan memantapkan tadbir urus kerajaan negeri dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat selari dengan matlamat sebagai kerajaan digital.

“PSP akan memastikan projek-projek ICT dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan baik supaya dapat memberi pulangan nilai untuk wang, impak dan keberkesanan yang tinggi kepada rakyat sekali gus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Bahagian ICT@Johor, Ungku Suzana Ungku Mohammad selaku wakil rasminya yang turut menyempurnakan majlis perasmian ‘kick-off’ tersebut.

Mohamed Ridha berkata, selain itu, pembudayaan dan kepimpinan digital penjawat awam juga perlu diberikan perhatian.

“Peranan kita semua sebagai penjawat awam amat signifikan dan perlu dihayati bagi penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri yang cekap dengan mengadaptasi teknologi digital,” katanya.

Beliau turut menekankan agenda pendigitalan telah menjadi keutamaan kerajaan negeri pada masa kini.

“Saya yakin dengan penghasilan PSP ini nanti akan dapat memberi sektor awam Negeri Johor hala tuju yang diperlukan untuk merealisasikan visi kerajaan digital,” katanya.

Justeru, Mohamed Ridha merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perunding Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) atas bimbingan dalam membangunkan PSP itu.

“Saya dimaklumkan pembangunan PSP ini akan mengambil masa lapan bulan. Dengan khidmat rundingan yang diberikan oleh MAMPU dan sokongan daripada semua ketua jabatan, saya percaya pembangunan PSP ini akan berjaya dihasilkan dalam tempoh masa yang dirancang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor