PROGRAM JOM BUDAYAKAN RENDAH KARBON SECARA PANDU LALU DI SUTERA MALL


Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) akan menganjurkan program Pandu Lalu Iskandar Puteri Rendah Karbon / Gambar Ihsan MBIP.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) akan menganjurkan program Pandu Lalu Iskandar Puteri Rendah Karbon bermula hari ini dan esok.

Program yang turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan SWM Environment Sdn Bhd itu akan dilaksanakan di kawasan letak kereta timur, Sutera Mall, Johor Bahru.

Menerusi penganjuran program ini, orang ramai berpeluang untuk melakukan program kitar semula sisa buangan dari rumah dengan lebih mudah.

Ini kerana pihak penaja iaitu Tanah Sutera, Sutera Mall dan Apeiron Bioenergy Sdn Bhd menyediakan lokasi pengumpulan minyak dan Kloth Kloth Cares iaitu tempat bagi pengumpulan buangan fabrik.

Menerusi inisiatif ini orang ramai boleh menjual minyak masak terpakai, menghantar fabrik, buku dan alat tulis terpakai di kawasan yang disediakan secara pandu lalu ini.

Lebih menarik, orang ramai juga berpeluang mendapatkan mata ganjaran bagi barangan kitar semula yang dihantar ke pusat pengumpulan ini.

Justeru, pihak MBIP menjemput orang ramai untuk sama hadir dan menyokong sasaran untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai bandaraya bebas karbon kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor