PENCAHAYAAN DI JALAN MUAR-LABIS DIBERIKAN PERHATIAN
ISKANDAR PUTERI — Lampu jalan di Jalan Muar-Labis terutama dari Kompleks Seri Pekembar ke Pekan Pagoh, dekat Muar, kini telah kembali berfungsi.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Bukit Pasir).
Menurutnya, bagaimanapun, lampu jalan di lokasi terbabit hanya berfungsi sekitar 20 ke 30 peratus sahaja berikutan kerosakan kemudahan tersebut yang terlalu lama.
“Setelah bertahun-tahun lampu jalan dari Kompleks Seri Pekembar ke Pekan Pagoh tidak berfungsi, akhirnya hari ini lampu-lampu tersebut telah kembali bernyala.
“Namun begitu sekitar 20-30 peratus sahaja lampu yang berfungsi setelah bekalan elektrik disambung semula. Ini kerana terdapat lampu-lampu yang rosak akibat terlalu lama terbiar serta tidak diselenggara dan Insya Allah langkah seterusnya akan diambil selepas ini,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya.
Mohamad Fazli turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM) atas komitmen untuk menyelenggara lampu jalan terbabit.
“Terima kasih pihak MPM yang akan mengambil tanggungjawab menyelenggara dan membiayai kos bulanan lampu ini.
“Semoga lampu-lampu ini dapat berfungsi dengan sempurna demi keselamatan pengguna jalanraya menjelang Aidilfitri yang akan tiba,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan negeri komited untuk terus memberikan fokus terhadap pembangunan infrastruktur dan akses kemudahan asas sejajar dengan Teras Keempat Agenda Maju Johor iaitu Kemudahan dan Keperluan Asas.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor