PENGERANG BERPOTENSI TERIMA RAMAI PELABUR LUAR
#KotaTinggi – Kerajaan Negeri menjangkakan Pengerang bakal menerima kehadiran lebih ramai pelabur luar menerusi inisiatif Johor Super Lane (JSL) diperkenalkan dalam Belanjawan Johor 2025 yang menjadi platform penyeragaman proses dan peningkatan ‘ease of doing business’ di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Antara penambahbaikan signifikan melalui pelaksanaan JSL adalah penjimatan masa proses pemajuan tanah yang dipendekkan daripada 37 bulan kepada 13 bulan selain pengeluaran lesen operasi perniagaan dalam tempoh satu jam sahaja selepas sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, jangkaan tersebut juga disokong dengan pelancaran manual Mesra Pelabur @ Pengerang dan Program EZY Pengerang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) sekali gus membuktikan komitmen PBT itu dalam usaha meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan pelanggan serta memudah cara kedatangan pelabur ke Pengerang.
Merupakan antara enam PBT di negeri ini dimasukkan di dalam JS-SEZ yang melaksanakan inisiatif JSL, Kerajaan Negeri percaya MPP akan sentiasa membantu memudahkan urusan pemegang taruh di kawasan pentadbirannya sekali gus menjayakan visi Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Kerajaan Negeri terus komited menjadikan negeri ini sebagai mesra pelabur, menggalakkan pemindahan teknologi dan kemahiran serta meningkatkan pelaburan berimpak tinggi dari dalam mahupun luar negara termasuk dengan memberi fokus kepada Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan pembangunan Desaru Coast berkelas antarabangsa.
Terdahulu, telah berlangsungnya Seminar EZY Pengerang : Southeast Pearl of Johor yang disempurnakan perasmiannya oleh YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor di Desaru Coast Conference Centre.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor