PENGHANTARAN UMP SECARA PERCUMA MENINGKAT
Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) bagi pesakit dengan preskripsi ubat susulan dari fasiliti kesihatan di negeri ini yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri bermula 1 Ogos, terus mendapat sambutan daripada Bangsa Johor dengan 22,781 bungkusan dihantar kepada pesakit secara percuma setakat September lalu.
Sejak inisiatif berkenaan dilaksanakan, terdapat peningkatan purata bulanan penghantaran bekalan ubat kepada pesakit sebanyak 17.9 peratus iaitu 11,391 bungkusan sebulan pada Ogos dan September, berbanding 9,664 bungkusan sebulan untuk tempoh sebelum pelaksanaan perkhidmatan UMP secara percuma antara Januari hingga Julai lalu.
Sebanyak RM900,000 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk menggerakkan inisiatif perkhidmatan UMP bagi meringankan beban kewangan dan menjimatkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi selain mengurangkan kesesakan yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
UMP secara percuma tanpa perlu pesakit hadir ke kaunter farmasi fasiliti kesihatan bagi mendapatkan bekalan ubat susulan melibatkan 160,000 bungkusan itu merupakan inisiatif Sistem Penyampaian Kesihatan di bawah Strategi Meningkat Kualiti Kesihatan Bangsa Johor, Teras Ketiga : Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2024.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan bagi memantau inisiatif perkhidmatan UMP di Poliklinik HSA dan Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS) Damansara Aliff selain turut melancarkan WiFi Premium Maju Johor, hari ini. Hadir sama, YBrs. Dr. Mohd Nizam Subahir, Pengarah HSA.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor