PENGOPERASIAN ETS3 BAKAL UBAH LANDSKAP PENGANGKUTAN AWAM JOHOR

Pengoperasian ETS3 turut mengukuhkan integrasi sistem pengangkutan awam negeri melalui hubungan strategik dengan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura, Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) dan myBAS. | Foto Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) menerusi perkhidmatan ETS3 di Stesen Keretapi Kempas Baru dilihat bakal membawa perubahan terhadap landskap mod pengangkutan awam di Johor.
Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, memberitahu kejayaan pengoperasian ETS3 itu secara tidak langsung turut memperkukuh agenda Kerajaan Negeri dalam memperkasakan jaringan pengangkutan awam yang moden, bersepadu dan mampan.
Menerusi operasi ETS3 yang kini sudah dimulai, laluan Johor Bahru–Kuala Lumpur juga menjadi lebih cekap dari segi penjimatan masa dan keselesaan, menjadikan perkhidmatan rel sebagai pilihan utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian dan bas ekspres.
Bagi daerah-daerah seperti Kluang, Segamat dan Gemas, PLBEGJB juga turut menjadi pemangkin keterhubungan wilayah, membolehkan akses yang lebih baik ke pusat pentadbiran kerajaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta merancakkan aktiviti ekonomi di Johor Bahru, Lembah Klang dan negeri-negeri lain yang berkaitan.
Pengoperasian ETS3 turut mengukuhkan integrasi sistem pengangkutan awam negeri melalui hubungan strategik dengan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura, Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) dan myBAS.
Jaringan pengangkutan ini bakal membentuk ekosistem perjalanan ‘first mile–last mile’ yang lengkap, di mana ETS3 menjadi tulang belakang perjalanan antara bandar, manakala perkhidmatan lain berfungsi sebagai penghubung harian di kawasan luar bandar.
Menurut Dr. Safizahanin berpendapat, pengetahuan berkaitan pengangkutan awam juga perlu diterapkan lebih awal kepada rakyat Johor sebagai sebahagian daripada silibus pendidikan yang merangkumi kefahaman untuk menggunakan sistem rel dan bas meliputi jadual perjalanan, laluan serta kaedah pembelian tiket.
Ia termasuk pendedahan kepada manfaat sosial, ekonomi dan alam sekitar hasil daripada penggunaan pengangkutan awam secara menyeluruh serta pembentukan sikap positif seperti menghormati pengguna lain, mematuhi peraturan dan menjaga keselamatan diri.
Terdahulu, pengoperasi ETS3 di Stesen Keretapi Kempas Baru menandakan bermulanya fasa baharu sistem pengangkutan rel Johor apabila projek sepanjang 192 kilometer merangkumi 11 stesen itu bakal meningkatkan kapasiti perjalanan, mempercepatkan operasi rel serta memperkukuh hubungan ekonomi di koridor Johor Selatan.
#JohorSafeZone
#PLBEGJB
#ETS3
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



