PERUNTUKAN KHAS BAGI MENGATASI ISU RUMAH PANGSA UZUR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan khas kepada Kerajaan Persekutuan seperti dititahkan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

KOTA TINGGI — Kerajaan Johor akan berkolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu perumahan pangsa kos rendah uzur berusia 40 tahun, di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan khas kepada Kerajaan Persekutuan seperti dititahkan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

“Rumah pangsa awam di bawah jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC), biasanya tiada peruntukan.

 

“Alhamdulillah, pertemuan dengan menteri, DYMM Tuanku (telah) menitahkan (menteri) untuk menyediakan peruntukan khas bagi rumah pangsa awam yang dalam keadaan uzur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi Kota Tinggi, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran DYMM Sultan Johor mengenai keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.

 

Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

 

Mohd Jafni berkata, lebih daripada 70 peratus MC bagi rumah pangsa kos rendah dilaporkan tidak dapat memungut bayaran penyelenggaraan bulanan daripada penghuni.

 

“Akhirnya kontraktor yang dilantik tidak dapat melaksanakan kerja. Bukan isu di Johor sahaja, tetapi di seluruh Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, beliau memberitahu kerajaan negeri sendiri sudah mengeluarkan RM58 juta pada tahun ini bagi kerja penyelenggaraan termasuk mengecat, baik pulih bumbung dan perpaipan.

 

“Daripada kerajaan negeri, kita bantu khasnya di peringkat Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dengan kedatangan menteri dan titah DYMM Tuanku, banyak lagi rumah-rumah pangsa awam kita dapat dibela,” katanya.

 

Oleh kerana penyelesaian perumahan pangsa kos rendah uzur melibatkan kos yang tinggi, Mohd Jafni berkata, bajet khas diperlukan bagi tujuan tersebut.

 

“Dalam kertas kerja diberikan kepada menteri, kerajaan negeri mohon kepada menteri RM18 juta untuk rumah pangsa awam di Taman Ungku Tun Aminah. Hanya (untuk) satu tempat sahaja,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor