PERUNTUKAN RM68.48 JUTA FELCRA PERKUKUH AGENDA PEMBASMIAN KEMISKINAN JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YBhg Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi FELCRA Berhad, baru-baru ini. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerima peruntukan sebanyak RM68.48 juta daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi menyokong Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) pada tahun ini.

 

Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan secara telus, tersusun dan bersasar bagi membantu golongan termiskin yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih di negeri ini, selaras dengan agenda pembasmian kemiskinan serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial negeri.

 

Dalam tempoh lima tahun, FELCRA turut menyalurkan keuntungan berjumlah RM311.9 juta kepada lebih 11,000 peserta di Johor, sekali gus membuktikan sektor pertanian dan pengurusan tanah yang cekap mampu menjana pulangan mampan serta meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor.

 

Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama FELCRA dalam memperkasa pembangunan luar bandar dan memastikan setiap inisiatif yang dirangka memberi impak langsung kepada komuniti setempat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YBhg Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi FELCRA Berhad, baru-baru ini.

 

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai perkara berkaitan pengukuhan operasi dan pengurusan aset FELCRA di Johor telah dibincangkan bagi memastikan tadbir urus yang lebih teratur, telus serta berdaya saing.

 

Langkah ini penting bagi menjamin setiap fasiliti dan projek yang dilaksanakan terus memberi manfaat maksimum kepada peserta dan komuniti seterusnya memperkukuh ekonomi luar bandar secara menyeluruh.

 

Sinergi erat antara Kerajaan Negeri dan FELCRA diyakini mampu memacu kemakmuran Johor secara inklusif, selari dengan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

 

#JohorSafeZone
#FELCRA
#e-Kasih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor