PESCAO KETIGA TERBAIK DEBUT ARRC 2024
#IskandarPuteri – Pada awal penubuhan JDT Racing Team, jenama ini berjaya menggegar dunia perlumbaan motor dalam negara mahupun di peringkat Asia. Pasukan yang diinspirasikan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengutamakan elemen profesionalisme serta mentaliti menang ini mempertaruhkan pelumba sensasi, Hafizh Syahrin Abdullah sebagai satu-satunya pelumba.
Hafizh juga dikenali sebagai Pescao, mencipta nama dengan menamatkan musim pertama kategori Asean Superbike 1000 (ASB1000) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di kedudukan ketiga keseluruhan bersama jentera Ducati Panigale V4R.
“Saya merasakan saya menonjolkan persembahan terbaik dalam penampilan pertama ARRC ini bersama pasukan baharu (JDT Racing Team) dan jentera baharu. Saya percaya kami mampu membuat lebih baik pada masa akan datang.
“Syukur Alhamdulillah, apa yang TMJ tawarkan lebih daripada mencukupi, cuma bukan rezeki saya tahun ini. Terima kasih kepada TMJ. Tanpa Tunku, mungkin saya tidak dapat berlumba tahun ini,” ujar Pescao selepas menamatkan perlumbaan kedua di Litar Antarabangsa Chang, Thailand di tempat ke-10, Ahad lalu.
Untuk rekod musim pertama, Pescao mencatat satu kemenangan di Litar Zhuhai, China dan menduduki lima kedudukan podium untuk menamatkan musim dengan jumlah 154 mata.
JDT Racing Team menamatkan kejuaraan ARRC 2024 di tempat kelima kategori pasukan daripada sepuluh pasukan yang bertanding dan pencapaian membanggakan ini perlu diberi perhatian bagi ‘debut’ musim ini.
Tahniah Hafizh Syahrin!
#AsiaRoadRacingChampionship
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor