PIPC TARIK PELABURAN KOMITED RM139 BILION
Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) terus menjadi pilihan pelabur apabila merekodkan pelaburan komited berjumlah RM139 bilion dengan RM124 bilion telah direalisasikan pada tahun lalu.
Perkembangan signifikan tersebut juga menyaksikan sebanyak 7,549 peluang pekerjaan berjaya dicipta dengan 6,898 tenaga kerja tempatan menjalani latihan kemahiran dikelolakan Johor Petroleum Development Corporation Bhd. (JPDC) yang seterusnya diterima bekerja dalam industri minyak dan gas.
Pengoperasian PIPC yang turut tertumpu kepada Pengerang Deepwater Terminals oleh DIALOG Group Berhad sudah merekodkan pembangunan seluas 4,738 daripada 10,415 ekar tanah bersamaan 45.5 peratus.
Sehingga 31 Mac lalu, pembangunan pusat penapisan minyak dan pemprosesan petrokimia di kompleks berkenaan mencapai kapasiti penapisan minyak mentah pada kadar 300,000 tong sehari dan PIPC menyasarkan 1 juta tong sehari pada tahun 2037.
Kerajaan Johor juga berkeyakinan pencapaian positif ditunjukkan PIPC serta cadangan memasukkan kawasan Pengerang ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berupaya memacu pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan negara.
Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor