PROJEK RTB DIJANGKA SIAP LEBIH AWAL


YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tiga daripada tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Johor melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.64 bilion telah bermula dan dijangka dapat disiapkan lebih awal berbanding tarikh asal.

 

Hasil turun padang dan perbincangan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perunding dan kontraktor, jangkaan siap projek RTB Bandar Batu Pahat diawalkan ke Disember 2026 manakala projek RTB di Segamat dan Sungai Johor Fasa 1 Pakej pula awal tiga bulan berbanding tarikh asal iaitu Disember 2027.

 

RTB yang merupakan projek jangka masa panjang dan berskala besar menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi membantu mengatasi masalah banjir Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi sentiasa menjadi keutamaan negeri.

 

Selain itu, lokasi atau hotspot banjir di negeri ini, sudah dikenal pasti oleh JPS, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) malah Kerajaan Negeri mengarahkan kerja penyelenggaraan parit di kawasan terbabit dibuat secara kerap.

 

Kerja menaik taraf juga perlu dilakukan secara menyeluruh supaya tiada ‘bottleneck’ akibat saiz parit atau saliran berbeza sekali gus tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak.

 

Terdahulu, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor