PKPJ BAKAL DINAIK TARAF, PERKASA PENGURUSAN PERUMAHAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Ahli Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Kali ke-4 yang turut dihadiri YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bakal dinaik taraf sebagai sebuah Badan Berkanun Negeri dan seterusnya menjadi langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem pengurusan perumahan serta mempercepatkan pelaksanaan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

 

Ia akan membolehkan PKPJ memiliki ruang untuk bergerak dengan lebih aktif dalam memastikan sistem perumahan di Johor diurus dengan lebih cekap, sistematik dan berdaya saing, sekali gus mencapai sasaran membina 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pada tahun 2025 dan 30,000 unit sehingga 2026.

 

Usaha berkenaan juga secara tidak langsung akan dapat mempercepatkan usaha pelaksanaan pembangunan Residensi Bangsa Johor dan Rumah Transit Bangsa Johor bagi membantu golongan B40 dan M40 memiliki kediaman yang sesuai dengan kemampuan mereka.

 

Justeru, sudah menjadi iltizam Kerajaan Negeri bagi memastikan semua Bangsa Johor berhak memiliki kediaman sendiri akan turut diperluaskan kepada golongan miskin tegar, warga emas dan ibu tunggal menerusi pembangunan 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menjelang tahun 2026.

 

Selain itu, penganjuran Ekspo Hartanah Johor (JPEX) pada tahun ini juga akan menjadi platform signifikan dalam menyebarluaskan strategi mendekati dan memenuhi impian rakyat Johor terutama golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Ahli Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Kali ke-4 yang turut dihadiri YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada Isnin.

 

#RumahMampuMilikJohor
#PKPJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor