PKPJ SELESAI 2,800 ISU PERUMAHAN STRATA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memuji usaha transformasi yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

JOHOR BAHRU — Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) berjaya menyelesaikan sebanyak 2,800 hak milik strata yang tertunggak sekian lama hanya dalam tempoh setahun.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia adalah hasil transformasi yang dilaksanakan oleh PKPJ dalam memastikan urus tadbir berkaitan sektor perumahan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta berjaya mengurangkan karenah birokrasi.

 

“Antara perkara (transformasi) yang telah dilaksanakan ialah dari segi permohonan. Saya difahamkan kalau dahulu hendak memohon Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), 17 dokumen perlu diserahkan tetapi pada hari ini, hanya lima dokumen sahaja diperlukan.

 

“Tidak cukup dengan itu, dari segi ‘plotting’ atau taburan Bumiputera, tempoh proses turut dipendekkan. Kalau dahulu (tempoh proses) 180 hari, hari ini ia hanya memerlukan tujuh hari sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Transformasi Perkhidmatan PKPJ di sini hari ini.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.

 

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Salehuddin Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim dan Ketua Eksekutif PKPJ, Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman.

 

Onn Hafiz Ghazi turut memuji usaha transformasi yang dilaksanakan oleh PKPJ yang bukan sahaja selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri tetapi ia turut memberi manfaat kepada rakyat.

 

Katanya, ia selaras dengan visi untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 dan impian itu tidak dapat direalisasikan jika tiada anjakan paradigma dilakukan terutama membabitkan enam teras yang digariskan dalam Amanat Menteri Besar sebelum ini.

 

“Di bawah Teras Pertama iaitu Tadbir Urus Kerajaan, enam inisiatif dalam masa setahun dilaksanakan oleh PKPJ antaranya ialah menyelesaikan isu tertunggak berkaitan pelepasan dan penawaran fail Bumiputera.

 

“Saya suka cara PKPJ ini kerana melibatkan semua pihak berkepentingan. Sudah pasti kena duduk berbincang dengan pemaju, kena jumpa PTG (Pejabat Tanah dan Galian).

 

“300 fail yang tertunggak bertahun diselesaikan dalam masa empat bulan. Bekerja siang dan malam melibatkan nilai hartanah RM3.8 bilion yang turut membawa hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM243 juta dan ini hasil anjakan paradigma yang saya cakapkan ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor