4,110 RMMJ AKAN DIBINA PADA TAHUN INI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata 4,110 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang akan dibina menjadi pemangkin kepada hasrat Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak RMMJ di seluruh negeri Johor dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan membina sebanyak 4,110 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pada tahun ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia sekali gus akan menjadi pemangkin kepada hasrat Kerajaan Negeri untuk membina sebanyak 21,000 rumah mampu milik di seluruh negeri Johor dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

“Setiap rakyat Johor berhak mempunyai rumah sendiri dan sebab itu saya menghargai usaha yang membantu saya dan Kerajaan Negeri untuk mencapai agenda ini.

 

“Sukacita saya maklumkan pada tahun 2022, kita telah melaksanakan 5,161 RMMJ dan ia melibatkan daripada pemaju sebanyak 2,800 unit, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak 286 unit dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak 2,075 unit,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Transformasi Perkhidmatan PKPJ di sini, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, selain daripada RMMJ, Kerajaan Negeri juga turut melaksanakan inisiatif ‘Rent to Own’ yang menyaksikan 88 unit rumah dapat dibina pada tahun lalu.

 

Katanya, bagaimanapun bagi tahun seterusnya, PKPJ akan diamanahkan untuk melaksanakan Rumah Transit Bangsa Johor yang berbeza sedikit dengan inisiatif ‘Rent To Own’ ini.

 

“Kalau dari segi term (peraturan) dia akan sewa dan selepas itu di akan mempunyai hak milik atau aset tersebut selepas beberapa tahun. Ia perkara biasa yang dilakukan di negeri lain pun.

 

“Istimewanya Rumah Transit Bangsa Johor ini ialah mereka yang menduduki rumah transit ini akan membayar sewa sebanyak RM650 sebulan tetapi ada pecahan tertentu,” katanya.

 

Beliau berkata, pecahan daripada pembayaran bagi sewaan Rumah Transit Bangsa Johor ini akan dimasukan ke dalam satu tabungan khas bagi manfaat penyewa bagi masa depan mereka kelak.

 

“RM455 daripada (keseluruhan kadar bayaran) RM650 itu akan digunakan untuk bayaran sewa. (Baki) RM195 akan digunakan untuk tabungan mereka.

 

“Ini supaya dalam masa lima tahun, Insyallah setiap individu yang masuk ke Rumah Transit Bangsa Johor ini akan mempunyai tabungan sebanyak RM11,000 dan dengan duit tabungan ini mereka boleh guna untuk bayar deposit rumah seterusnya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor