PROGRAM JBCFM LAHIRKAN MASYARAKAT SIHAT


Program Pagi Bebas Kereta Johor Bahru anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Program Pagi Bebas Kereta Johor Bahru atau ‘JB Car Free Morning’ (JBCFM) anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bukan sahaja menjadi platform bagi memperkasa agenda bandar raya hijau dan rendah karbon, tetapi juga melahirkan masyarakat aktif dan sihat.

 

Sejak Januari 2024, JBCFM yang menerima suntikan kerjasama strategik daripada OCBC Malaysia telah menarik hampir 5,000 peserta yang beriadah di pusat bandar raya dalam suasana yang lebih selamat bersama dengan rakan-rakan dan ahli keluarga sekali gus menyokong agenda penyahkarbonan di Johor Bahru.

 

Usaha MBJB menganjurkan program berkenaan juga bukanlah sesuatu yang baru, malah laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2020 menunjukkan bandar raya Johor Bahru merupakan kawasan mempunyai lebih 1 juta penduduk aktif menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi.

 

Program dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula jam 7 hingga 9 pagi itu memberi peluang kepada para pengunjung beriadah serta melihat pelbagai mercu tanda yang tersergam indah seperti ‘Johor Bahru Sky Screen’, Arca Kilometer Sifar, Legaran Sungai Segget serta ‘Street of Harmony’ di Jalan Trus yang menjadi simbol keharmonian Bangsa Johor.

 

Selain itu, JBCFM juga menepis dakwaan Johor Bahru sebagai bandar yang bosan kerana penganjuran program tersebut turut menarik penyertaan pengunjung luar negara sekali gus memberi iltizam buat MBJB menjadikannya sebagai program ikonik dan produk pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.

 

Antara aktiviti dilaksanakan semasa program JBCFM ialah aktiviti berbasikal, larian santai, senamrobik serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik disediakan seperti basikal, peralatan sukan dan rekreasi, baucar skuter ‘Beam’ dan baucar penginapan hotel di Johor Bahru.

 

Malah, penganjuran JBCFM ini juga selari dengan agenda utama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) MBJB sendiri iaitu memastikan kehidupan sihat dalam kalangan penduduk sekitar Johor Bahru, menjadikan bandar raya inklusif, selamat, dan berdaya tahan serta mewujudkan institusi masyarakat yang hidup dengan aman.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor