PROGRAM NTW 2023 SIAP SIAGA LATIH 2,000 PEKERJA DI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, semasa merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023, baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menyambut baik Inisiatif Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 dalam usaha memperkasakan kemahiran golongan belia di Negeri Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata program tersebut turut menyediakan nilai peruntukan anggaran sebanyak RM10 juta untuk melatih seramai 2,000 pekerja.

 

Katanya, dengan jumlah 500,000 jam tempoh latihan, Program NTW 2023 merupakan program latihan percuma untuk memperkasakan kemahiran 125,000 golongan belia di Malaysia termasuk di Johor membabitkan dana keseluruhan sebanyak RM250 juta.

 

“Saya berharap golongan pekerja di Johor yang sedang mencari nilai tambah serta peluang-peluang latihan dapat merebut dan memanfaatkan insiatif yang ditawarkan ini dengan sebaiknya.

 

“Hebahkan juga informasi berguna ini kepada sahabat handai, keluarga dan masyarakat supaya mereka juga dapat memanfaatkan peluang yang baik ini, InsyaAllah,” katanya menerusi laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Perasmian NTW 2023 di Southern University College, Johor Bahru bersama pihak penganjur Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC).

 

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan golongan belia khususnya, dalam kepentingan latihan sekaligus memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor