“YANG PENTING ADALAH KESEDARAN MASYARAKAT MENJAGA KEBERSIHAN” – K. RAVEN KUMAR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K.Raven Kumar, berkata justeru pihaknya berharap segenap lapisan masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing. | FOTO MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Semua lapisan anggota masyarakat khususnya di negeri ini perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi mengenai amalan kebersihan kerana ia tidak terhad kepada soal kesihatan semata-mata.

 

Ini kerana kebersihan juga menjadi tonggak kepada kelestarian alam sekitar yang turut menjadi nadi kepada ekosistem semula jadi selain turut menjadi faktor lain dalam memperkasa ekonomi dan pembangunan negeri kelak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K.Raven Kumar, berkata justeru pihaknya berharap segenap lapisan masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

 

“Kita tidak mahu menunding jari atau menyalahkan sesiapa termasuk penduduk namun kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan perlu diterapkan bagi mengelakkan masalah pencemaran terus berlaku.

 

“Seperti yang kita lihat hari ini di Kampung Pasir ini, ia antara perkampungan di kawasan bandar raya Johor Bahru namun kita juga dapat lihat keadaan sampah juga agak banyak.

 

“Kita ada kontraktor yang membersihkan sampah setiap hari namun ia tidak pernah berkurangan (kerana kurangnya kesedaran kebersihan). Justeru, pendidikan sivik sangat penting kerana kita perlu tahu negeri ini milik kita dan kita kena menjaganya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Johor Bersih Sungai Skudai di Rumah Pam Kampung Pasir di sini, semalam.

 

Raven Kumar berkata, pihaknya kini juga sedang giat berkerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan melalui beberapa siri gotong-royong sejak Progam Johor Bersih dilancarkan pada 2 Julai tahun lalu dan menyifatkan kebersihan adalah satu instrumen penting dalam menarik pelancong ke negeri ini.

 

“Kalau kita tidak jaga kebersihan dengan keadaan timbunan sampah seumpama ini, bagaimana kita nak tarik pelancong dan pelabur(ke Johor)?.

 

“Kita bukan hendak paksa semua orang buat gotong royong tetapi kita mahukan kesedaran daripada mereka. Jangan buang sampah merata-rata kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menyediakan banyak kemudahan tong sampah semua,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor