PROJEK LORONG TAMBAHAN PLUS SENAI UTARA-SIMPANG RENGGAM MENDAHULUI JADUAL

Projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Yong Peng Utara terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila Fasa 2 Sedenak–Simpang Renggam mencatat kemajuan 19.72 peratus setakat 25 Jun 2026, mengatasi sasaran asal 19.57 peratus sebanyak 0.15 peratus. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Yong Peng Utara terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila Fasa 2 Sedenak–Simpang Renggam kini berjaya mendahului jadual asal.
Sehingga 25 Jun 2026, Fasa 2 projek berkenaan telah merekodkan kemajuan sebanyak 19.72 peratus, melepasi sasaran yang dijadualkan iaitu 19.57 peratus, sekali gus menunjukkan kelebihan sebanyak 0.15 peratus.
Bagi Fasa 1 yang melibatkan jajaran Senai Utara–Sedenak sejauh 21.8 kilometer (KM), Pakej A Kulai–Sedenak mencatat kemajuan 52.38 peratus, manakala Pakej B Senai Utara–Kulai pula mencapai 20.83 peratus.
Secara keseluruhan, projek ini merangkumi dua fasa utama iaitu Fasa 1 (Senai Utara–Sedenak) sepanjang 21.8 KM dan Fasa 2 (Sedenak–Simpang Renggam) sepanjang 16.6 KM.
Pemantauan berterusan sentiasa dilaksanakan di tapak pakej projek berkenaan bagi memastikan semua kerja berjalan mengikut perancangan, di samping mengenal pasti serta mengurus sebarang cabaran sepanjang tempoh pembinaan.
Antara isu yang dikenal pasti termasuk keadaan tanah yang keras serta beberapa kerja teknikal yang memerlukan langkah mitigasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
Projek ini dijangka dapat memberi impak positif kepada pengguna lebuh raya melalui peningkatan kapasiti jalan, selain membantu mengurangkan kesesakan dan memperbaiki aliran trafik di koridor selatan Johor.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan projek berkenaan di Sedenak, selain meneliti perkembangan kerja dan cabaran pelaksanaan di tapak.
#JohorSafeZone
#LebuhrayaPLUS
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


