PROJEK SDCC JOHOR PERKUKUH KEUPAYAAN PENGURUSAN BENCANA NEGERI

Pusat Kawalan Bencana Negeri Johor (SDCC) yang dinaik taraf dengan kos RM750,000 kini diperkasa bagi memastikan pemantauan, penyelarasan dan tindakan respons bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya menjelang Musim Monsun Timur Laut (MTL). | Foto MDJ Ariff Nasseem
#JohorBahru – Pusat Kawalan Bencana Negeri Johor (SDCC) yang siap dinaiktaraf bakal memperkukuh keupayaan negeri ini dalam memantau, menyelaras dan melaksanakan tindakan respons terhadap sebarang kejadian bencana, khususnya menjelang ketibaan Musim Monsun Timur Laut (MTL).
Projek berkenaan yang bernilai RM750,000 itu diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Ia melibatkan kerja-kerja penaiktarafan termasuk aspek penyelenggaraan, keselamatan dan keselesaan bagi memastikan kelancaran operasi di pusat kawalan berkenaan.
Usaha itu turut memperkukuh kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Johor dalam memastikan mekanisme pengurusan bencana negeri sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi kemungkinan pelbagai situasi, termasuk banjir, ribut, tanah runtuh dan perkara kecemasan lain.
SDCC berperanan sebagai tunjang pengoperasian pengurusan bencana di peringkat negeri, khususnya dalam menyelaras maklumat daripada pelbagai agensi serta pasukan operasi di lapangan bagi membolehkan tindakan respons dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.
Hubungan antara SDCC dan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) turut terus diperkasa bagi memastikan maklumat berkaitan kejadian bencana di peringkat negeri dapat disalurkan dengan berkesan untuk tujuan penyelarasan di peringkat nasional.
Menerusi keupayaan SDCC yang diperkukuh, proses pemantauan, perkongsian maklumat serta penyelarasan tindak balas bencana di Johor kini dapat dilaksanakan dengan lebih bersepadu, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazri Rebu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan YBhg. Datuk Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA hadir ke Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf SDCC Negeri Johor di Bilik Mesyuarat SDCC, hari ini.
#JohorSafeZone
#SDCC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


