PROJEK RTB SUNGAI KESANG BERJALAN MENGIKUT JADUAL

YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor semasa perbincangan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). | Foto Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kesang di daerah Tangkak yang sudah dilaksanakan sejak Ogos 2023, kini berjalan mengikut jadual dan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 24.2 peratus.
Projek RTB bernilai RM126 juta yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2026 melibatkan pembinaan pintasan banjir sepanjang 0.5 kilometer itu bertujuan mengurangkan isu banjir berulang di kawasan kritikal membabitkan lebih 5,000 penduduk yang terkesan sejak tahun 2006.
Apabila siap kelak, RTB Lembangan Sungai Kesang dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di tujuh lokasi utama di daerah Tangkak yang sering dilanda banjir, iaitu Kampung Sialang, Kampung Seberang Gajah, Kampung Sri Makmor, Parit Sialang, Parit Telok Ranggam, Parit Gelugor dan Parit Londang Palas.
Projek RTB Lembangan Sungai Kesang itu juga merupakan salah satu daripada 11 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi di Johor dengan sebanyak lapan projek telah memasuki fasa pelaksanaan manakala tiga lagi berada di peringkat pra-pelaksanaan.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek RTB ini, Kerajaan Johor juga telah menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat negeri untuk menyelaras proses pembinaan melibatkan kelulusan permit, perancangan dan urusan tanah serta taskforce bersama Kerajaan Persekutuan.
Taskforce berkenaan dipengerusikan secara bersama oleh YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor dan YBhg Datuk Mad Zaidi Mohd Karli Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kerajaan Johor dengan kerjasama PETRA kekal komited bagi memastikan semua projek tebatan banjir di negeri ini dilaksanakan secara terancang dan efisien demi kesejahteraan serta keselamatan rakyat Johor, sekali gus memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan selamat.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor