MET MALAYSIA JANGKA MONSUN BARAT DAYA BERMULA 10 MEI

Kenyataan media MetMalaysia.

 

#IskandarPuteri – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan musim Monsun Barat Daya akan bermula pada 10 Mei ini hingga September depan berikutan keadaan angin mula bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya ke rantau negara ini.

 

Sepanjang musim berkenaan, kadar kelembapan udara kelazimannya adalah rendah menyebabkan kekurangan pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat sekali gus negara menerima jumlah hujan lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.

 

Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah susulan kehadiran fenomena garis badai iaitu barisan ribut petir terbentuk akibat daripada penumpuan angin yang boleh berlarutan hingga beberapa jam.

 

Selain itu, MET Malaysia juga memberi peringatan agar mengelakkan pembakaran terbuka kerana fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku jika aktiviti terbabit tidak dikawal semasa kemuncak musim Monsun Barat Daya pada Julai hingga September.

 

Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh musim berkenaan selain mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang jabatan, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia dan menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.

 

#METMalaysia
#MonsunBaratDaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor