PROJEK RTS LINK TERUS DIBERI KEUTAMAAN KERAJAAN JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat melawat tapak projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor terus komited memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi Sistem Rapid Transit (RTS Link) Johor Bahru – Singapura dapat disiapkan sebelum Disember 2026 seterusnya beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.

 

Malah, pemantauan secara rapi akan dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa khas Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor dianggotai pelbagai jabatan dan agensi berkaitan bagi memantau serta membantu MRT Corporation (MRTCorp) menjayakan projek berkenaan.

 

Kerajaan Johor juga berpuas hati apabila projek menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura kini sudah memasuki fasa pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di stesen Bukit Chagar yang semakin giat dilaksanakan.

 

Selain itu, bagi menyokong serta mengoptimumkan perkhidmatan RTS Link, Kerajaan Negeri akan membentangkan hasil kajian pelaksanaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) kepada Jemaah Menteri dalam tempoh beberapa minggu lagi sebagai usaha mengatasi kesesakan di bandar raya Johor Bahru.

 

Cadangan serta kajian bagi membangunkan mod pengangkutan berkenaan turut disifatkan sangat positif dan boleh dilaksanakan dengan keutamaan akan diberikan kepada jajaran yang sesuai untuk mengoptimumkan pengunaan sistem ART dan RTS Link demi keselesaan pengguna.

 

Pengoperasian RTS Link Johor Bahru – Singapura yang merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia serta 1.3 km di Singapura itu diyakini mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan sekali gus mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian dan mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor