RAKYAT JOHOR DISARAN REBUT PELUANG MILIKI RUMAH IDAMAN DI JPEX 2025

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menggalakkan penyertaan golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana untuk hadir ke Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Julai ini di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Rakyat Johor diseru untuk merebut peluang keemasan memiliki rumah idaman dengan menghadiri Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Julai ini di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.
Saranan ini disuarakan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, yang turut menggalakkan penyertaan golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana untuk hadir ke ekspo ini bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan proses, bantuan dan peluang pemilikan rumah mampu milik, terutamanya yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.
JPEX 2025 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bakal menghimpunkan pelbagai informasi hartanah, khidmat nasihat profesional dan tawaran menarik melibatkan skim seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ), Rumah Prihatin Johor (RPJ), Rumah Kasih Johor (RKJ) serta lot bumiputera.
Sebanyak 15,000 unit rumah akan ditawarkan sepanjang JPEX 2025 merangkumi pelbagai kategori rumah dengan harga bermula serendah RM50,000 hingga RM300,000 bagi Rumah Mampu Milik. Penawaran ini meliputi projek-projek baharu yang turut akan dilancarkan awal, termasuk 17 projek RMMJ di lokasi strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Ekspo ini juga menyediakan platform kepada orang ramai untuk mendaftar akaun melalui sistem eRumah Johor, selain mendapatkan khidmat nasihat dan urusan di J-Home One Stop Centre, sebuah pusat sehenti yang memudahkan semua urusan berkaitan perumahan.
Kerajaan Negeri Johor komited memperluas pelaksanaan projek RMMJ secara sistematik dan telus melalui pemantauan berpusat sistem eRumah Johor, yang kini merekodkan lebih 20,000 permohonan aktif daripada rakyat negeri ini.
Setakat suku pertama tahun 2025, sebanyak 16,845 unit RMMJ telah berjaya disiapkan daripada sasaran keseluruhan 30,000 unit menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030. Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 31 projek baharu melibatkan 2,326 unit RMMJ telah pun diluluskan.
Penganjuran JPEX 2025 merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan PKPJ untuk memperluas akses pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Johor menerusi pendekatan yang lebih inklusif, sistematik dan telus, selari dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai negeri pilihan untuk didiami, bekerja dan membina masa depan.
#JPEX2025
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor