RANHILL SAJ PERLU LIHAT SEMULA SOP, JARINGAN SALURAN BEKALAN AIR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh dtemui pemberita ketika melakukan lawatan ke Bilik Media di Persidangan Dewan Johor / Gambar Ihsan Pembaca.

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat pengendali utiliti air Johor, Ranhill SAJ diminta untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) dan jaringan sambungan antara saluran paip air lama dan baru bagi memastikan bekalan air bersih dapat dinikmati rakyat tanpa sebarang masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata
sehingga kini terdapat kira-kira 26,000 kilometer (KM) jaringan saluran paip air di seluruh Johor.

Katanya, namun daripada jumlah itu, sejumlah 6,000 KM daripadanya ditarifkan sebagai paip lama yang sudah berusia, selain bahan pembuatannya adalah daripada campuran simen yang mudah pecah.

“Selain itu kita juga mempunyai sistem pemetaan utiliti dimana sebelum seseorang kontraktor membuat kerja galian, mereka perlu melihat sistem berkenaan untuk melihat saluran paip yang ditanam di bawah tanah.

“Namun saluran paip air bawah tanah di Johor sudah berusia 30 hingga 40 tahun sehinga menyebabkan pemetaan utiliti tidak dapat mengesannya dengan baik. Dahulu mungkin paip air ini ditanam sedalam lima meter, namun seperti kes di Pasir Gudang, ia kini terbenam sedalam lapan meter di bawah tanah.

“Keadaan itu menjadi salah satu faktor kenapa sering berlaku kejadian saluran paip air pecah ketika kerja infrastruktur dijalankan di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan kunjungan ke Bilik Media yang sedang melakukan liputan Persidangan
Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, pihak Ranhill SAJ sedang berusaha untuk melakukan kerja gantian jaringan 6,000 saluran paip lama namun dengan kos yang terhad menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dengan tempoh yang singkat.

“Kita mendapat peruntukan sebanyak RM280 juta setahun untuk kerja gantian paip lama ini tetapi dengan kos terbabit, kita hanya mampu menganti 234 KM paip setahun. Jadi, untuk 6,000 KM ini, kita perlu 10 tahun untuk menyelesaikannya.

“Justeru, Ranhill SAJ perlu lihat semula SOP dan jaringan sambungan paip lama dan baru ini supaya kita dapat melakukan sambungan air jika berlaku kejadian paip pecah dan seterusnya mengelak penduduk daripada terkesan dengan isu krisis air,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata, berbeza dengan Tenaga Nasional Berhad yang mempunyai sistem penganti bekalan, pengendalian utiliti bekalan air masih belum mempunyai sistem yang serupa.

“Justeru Ranhill SAJ diminta mencari kaedah baharu dan juga membuat pembaikan bagi mengatasi masalah ini sementara menantikan 6,000 KM saluran paip air lama ini dapat digantikan dengan yang baharu.

“Selain itu, kita perlu melihat balik perancangan perniagaan termasuk berjumpa dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kita periksa dengan mereka apa yang boleh mereka bantu termasuk mendapatkan dana tambahan untuk gantikan paip air ini,” katanya.

Jika ia dapat direalisasikan, beliau percaya projek pembaikan dan pengantian saluran paip lama ini akan dapat dilakukan dalam tempoh lima tahun berbanding 10 tahun pada ketika ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor