JAINJ AKAN TAMBAH BAIK SKIM PERJAWATAN GURU SEKOLAH AGAMA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menjawab soalan pada Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 / Gambar Ihsan MEDKOM Johor.

 

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang dalam usaha menambah baik skim perjawatan guru bagi menetapkan minat guru untuk terus berkhidmat di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata kerajaan negeri sedar pada tahun ini berlakunya perpindahan guru Sekolah Agama Kerajaan Johor ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Hal ini berlaku berikutan ramai dalam kalangan guru agama kita merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang melayakkan mereka berkhidmat sebagai guru di KPM.

“Justeru, bagi menetapkan minat para guru agama kita untuk terus berkhidmat di Sekolah Agama Kerajaan Johor, Jabatan Agama Islam (JAINJ) sedang dalam usaha menambah baik skim perjawatan guru dengan menimbal guna sistem kenaikan pangkat ‘time based’ berasaskan kecemerlangan (TBBK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Mohd Fared berkata, menerusi sistem TBBK yang diguna pakai di sekolah KPM, guru yang bergred DG29 hanya memerlukan tempoh lapan tahun untuk kenaikan gred DG32 berbanding 10 tahun sebelum ini.

“Guru-guru yang layak akan mengambil ujian kompetensi untuk kenaikan pangkat berkenaan. Setakat ini, JAINJ baharu sahaja menyiapkan modul kompetensi sebelum diserahkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk proses selanjutnya,” katanya.

Sementara itu dalam persidangan sama, Mohd Fared yang juga ADUN Semerah berkata, sebagai tanda terima kasih kepada pegawai masjid dan surau, kerajaan negeri memperuntukan RM6.5 juta untuk kumpulan berkenaan.

“Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut memperuntukan sejumlah RM6.13 juta untuk dibayar kepada bilal masjid, noja masjid, imam surau dan bilal surau pada tahun ini.

“Tambahan pula terdapat beberapa siri bantuan secara ‘one off’ melalui Bantuan Kasih Bangsa Johor yang memperuntukan sejumlah RM500 kepada pegawai berkenaan yang meliputi penerima atau bukan penerima elaun kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiada sebarang klausa dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 untuk menentukan Kadar Pengurusan Jenazah dan pertauliahan khas kepada individu yang menguruskan jenazah khususnya di hospital.

“Bagaimanapun, Bahagian Dakwah JAINJ sedang dalam penelitian mengenai kos pengurusan jenazah untuk digunapakai oleh pengendali pengurusan jenazah supaya ia dapat diselari dan diseragamkan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor