REVOLUSI TRANSONIK HARIMAU SELATAN


Perlawanan akhir Piala FA 2024/25 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 

 

Oleh – Farhan Khair

Pegawai Penerangan (Editor) Media Digital Johor

 

 

Memorabilia tahun 2013 menjadi sejarah bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila buat julung kali beraksi di pentas Liga Super Malaysia. Pada tahun yang sama, detik kegagalan JDT menjulang apa-apa kejuaraan walaupun dibarisi pemain bintang dijadikan bahan jenaka. Walaupun dihimpit dengan stigma tersebut, ada seorang pemimpin yang sentiasa mahukan sesuatu yang realistik dalam mensasarkan matlamat.

 

Satu demi satu langkah disusun, perbelanjaan besar menelan angka bilion, walaupun pengakhiran indah perlu tunggu beberapa tahun. Sebuah kelab kecil yang berjiwa besar ini bercita-cita untuk mendominasi liga domestik tempatan, di samping menjadi kuasa bola sepak Asia Tenggara. JDT juga mahu berdiri sebaris dengan kelab-kelab terkemuka benua Asia. Tidak cukup dengan itu, JDT mahu menjadi peneraju inovasi bola sepak dalam negara dan sentiasa dipandang dunia.

 

Empayar Harimau Selatan ini cukup bertuah mempunyai seorang pemikir berkebolehan luar biasa yang wujud dalam organisasi. Sifat kepimpinan dan wawasan jauh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menjadi indikator penting revolusi empayar ini sejak awal penubuhan. Dalam tempoh yang singkat, Tunku Ismail mentransformasi JDT secara total, sekali gus melenyapkan segala tohmahan bahawa kewujudan empayar ini hanya bersifat seketika.

 

Bicara tentang stadium bola sepak di Johor, bermula dari Stadium Larkin sebagai gelanggang keramat, sehingga menggunakan Stadium Sultan Ibrahim yang diiktiraf dunia sebagai ‘Stadium of the Year 2020’. Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) yang menjadi venue ‘home’ bagi skuad junior. Lebih membanggakan, kesemua empat buah stadium menepati piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 

Tunku Ismail juga telah membuktikan bahawa fasiliti bola sepak di Johor merupakan yang terbaik dalam negara. Keadaan padang bertaraf antarabangsa, kemudahan untuk pemain bola sepak dan juga keselesaan semua penyokong yang hadir ke stadium. Kesemua prasarana sukan bola sepak terbaik dan teknologi terkini di Johor berjaya menarik minat pemain bertaraf antarabangsa untuk berkelana ke JDT. Penambahbaikan setiap sudut dalam kelab bola sepak ini tidak akan terhenti dan ianya akan diperbaharui mengikut peredaran zaman dalam dunia bola sepak moden.

 

Umum sedar bahawa Tunku Ismail mempunyai hubungan baik dengan ramai personaliti bola sepak di seluruh dunia dan mengadakan perjumpaan dengan institusi penting bola sepak dunia seperti Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan kelab-kelab bola sepak daripada liga Eropah. Terkini, Tunku Ismail telah mendapat jemputan oleh Presiden Kelab Bolasepak Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi untuk menyaksikan perlawanan Trophee des Champions antara juara Ligue 1 tersebut dan AS Monaco di Stadium 974, Doha Qatar. Secara tidak langsung, usaha merapatkan hubungan dan menjalinkan kerjasama strategik ini telah melonjak jenama JDT sendiri.

 

Kejuaraan JDT? Tidak perlu untuk diolah panjang. Penguasaan sedekad JDT dalam saingan Liga Super Malaysia sejak kelab itu melalui fasa revolusi menjadi bukti kukuh. Bersaing dalam kejohanan prestij seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) juga menjadi tonik tambahan dalam penguasaan bola sepak, dan akhirnya pada musim 2022, JDT melangkah ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menerusi kemaraan epik.

 

Pelakar sejarah, peneraju bola sepak negara, pemecah segala rekod dalam bola sepak tempatan, membina jenama ke seluruh dunia, semua telah dibuktikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik JDT.

 

Ketokohan Tunku Ismail, sikap profesional dan ketelitian dalam segala aspek kini bakal diterapkan kepada skuad Harimau Malaya dan ianya telah berjaya meyakinkan Kerajaan Madani untuk memberikan tanggungjawab serta dana kewangan revolusi ini kerana percaya ianya tidak akan disalah gunakan dan akan mendapat hasil seperti yang diharapkan.

 

“Kepada Presiden FAM, izinkan saya untuk mengambil alih skuad bola sepak negara. Saya akan berikan mereka fasiliti latihan dan jurulatih yang terbaik. Saya tidak akan menjanjikan kejayaan dalam masa singkat. Tetapi saya boleh memberi jaminan dalam hasil peningkatan.” – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (Jun 2021).

 

Imbas kembali ayat tersebut sewaktu Tunku Ismail menyatakan minat untuk mengemudi skuad bola sepak negara beberapa tahun lalu. Dan tahun 2025, dengan berbekalkan pengalaman dan segala pencapaian terbaik Tunku Ismail, revolusi terhadap skuad bola sepak negara telah pun bermula untuk fasa pertama. Perlantikan beberapa jawatan penting dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diumumkan.

 

Untuk para penyokong, percaya pada proses dan kekal tenang untuk melihat hasilnya dengan izin Tuhan, kejayaan akan hadir buat skuad bola sepak negara di kemudian hari.

 

#WhatCanYouDo
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor