RM1.87 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI PROGRAM JUALAN KASIH JOHOR SEMPENA DEEPAVALI

Menerusi Jualan Kasih Johor, set kombo yang ditawarkan mengandungi seekor ayam, sepapan telur dan dua liter minyak masak, sekali gus memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan menjelang sambutan Deepavali. | Foto FB Israk Abdullah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM1.87 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Kasih Johor (JKJ) sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2026 dengan sebanyak 54,000 set kombo barangan keperluan asas akan ditawarkan pada harga RM15 sahaja.
Inisiatif tersebut sebagai usaha Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam membantu meringankan kos sara hidup Bangsa Johor, khususnya masyarakat India yang bakal menyambut perayaan itu tidak lama lagi.
Program yang akan bermula esok hingga 1 November ini akan melibatkan 63 lokasi di seluruh negeri merangkumi kesemua 56 kawasan Dewan Negeri (DUN), jelas YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
Istimewanya program JKJ ini, set kombo ditawarkan mengandungi seekor ayam, sepapan telur dan dua liter minyak masak, sekali gus memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan menjelang sambutan Deepavali.
Pelaksanaan inisiatif bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan keperluan keluarga.
Sehubungan itu, Bangsa Johor khususnya masyarakat India, digalakkan memanfaatkan peluang berkenaan dengan mengunjungi lokasi jualan berhampiran mengikut jadual yang ditetapkan, sekali gus dapat membantu persiapan menyambut Deepavali dengan lebih bermakna.
#JohorSafeZone
#JualanKasihJohor
#Deepavali
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


