RM12.78 JUTA PERUNTUKAN UNTUK PONTIAN BUKTI KOMITMEN KERAJAAN JOHOR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan MTD Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Agenda pembangunan daerah terus diperkukuhkan dengan peruntukan sebanyak RM12,776,941 diluluskan bagi daerah Pontian untuk tahun ini melibatkan 29 projek menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD).

 

Peruntukan yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat di daerah itu merangkumi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam serta kesejahteraan komuniti di empat kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) utama iaitu Benut, Pulai Sebatang, Kukup dan Pekan Nenas yang berada kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

 

Bagi memastikan keperluan mendesak rakyat ditangani segera, sebanyak tujuh projek keutamaan dengan peruntukan RM980,000 telah dikenal pasti untuk kelulusan segera berdasarkan kriteria bencana, sosial dan keselamatan, selaras dengan fokus Kerajaan Negeri terhadap isu-isu kritikal di lapangan.

 

Antara projek yang diberi keutamaan termasuk kerja baik pulih struktur sekolah yang mengalami penurunan tanah dan berisiko kepada keselamatan murid, projek menaik taraf jeti nelayan di Kukup serta penambahbaikan kemudahan awam seperti balairaya, dewan serbaguna dan infrastruktur sekolah agama yang uzur.

 

Pelaksanaan projek-projek ini diselaraskan melalui MTD Pontian yang berperanan sebagai platform penting dalam memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani secara lebih berfokus, tersusun dan berimpak tinggi di setiap peringkat akar umbi.

 

Menerusi MTD Pontian, sebanyak 99 projek direkodkan dalam pemantauan dengan 61 projek telah siap diselesaikan, 12 projek dalam tindakan pelaksanaan, manakala selebihnya berada di peringkat permohonan dan siasatan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan MTD Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian, semalam.

 

#JohorSafeZone
#MTDPontian
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor