RM142.7 JUTA TANGANI ISU ‘HOTSPOT’ BANJIR DI JOHOR BAHRU

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohd Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sebanyak tujuh projek bernilai keseluruhan RM142.7 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Johor bagi menangani lokasi ‘hotspot’ banjir khususnya di kawasan bandar raya Johor Bahru yang akan melibatkan kerja menaik taraf sistem saliran dan juga pembangunan lembangan sungai bersepadu yang lebih mampan dan lestari.

 

Antara projek utama yang akan atau sedang dilaksanakan ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Skudai bernilai RM99.8 juta yang turut merangkumi kawasan berisiko tinggi banjir seperti Kampung Poh Chi Lin, Kampung Sepakat Baru, Kampung Laut dan Kampung Syahbandar yang kini berada di peringkat pelantikan perunding projek.

 

Sementara itu, dua projek Saliran Mesra Alam Tebrau-Plentong juga bakal dilaksanakan secara berfasa melibatkan pakej pertama di Kampung Ubi dan Kempas Permatang dengan kos RM8.46 juta yang dijangka siap pada Jun tahun depan, manakala pakej kedua pula yang akan melibatkan Kampung Kangkar Tebrau dan Kampung Bunga Ros bernilai RM20 juta kini sedang dalam proses perolehan.

 

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan beberapa projek berskala kecil tetapi berimpak tinggi bernilai RM1.48 juta di kawasan berhampiran Apartment Lily Jasmine, Taman Rinting (RM3.4 juta) yang dijangka siap pada Jun tahun ini. Sementara itu, bagi projek saliran di Kampung Pasir bernilai RM4.48 juta dan rancangan tebatan banjir (RTB) di Kampung Muafakat Baru, Gelang Patah bernilai RM5 juta pula kini di berada di peringkat pra pelaksanaan.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohd Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor menjawab soalan YB Dato’ Jefridin Atan, Ahli Dewan Negeri kawasan Kukup; YB Tuan Anuar Abd. Manap (Pemanis) dan YB Puan Marina Ibrahim (Skudai) mengenai langkah Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah ‘hotspot’ banjir pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor