RM23.4 JUTA PERKASA SEKTOR KETERJAMINAN MAKANAN JOHOR

Kenyataan Media.

 

#IskandarPuteri – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM23.4 juta bagi pelaksanaan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang dilaksanakan secara kerjasama antara kementerian dan Kerajaan Negeri Tahun 2025.

 

Jumlah berkenaan merangkumi peruntukan sebanyak RM9.25 juta bagi Fasa 1 pada Februari lalu dan RM14.15 juta untuk Fasa 2 pada Jun ini, jelas YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang merakamkan penghargaan serta terima kasih bagi pihak Kerajaan Negeri.

 

Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan 20 program atau projek berimpak tinggi yang menyokong Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor meliputi usaha untuk memperkasakan amalan pertanian moden serta merancakkan industri asas tani dan industri akuakultur.

 

Selain itu, meningkatkan pengeluaran industri tenusu menerusi projek Jemaluang Dairy Valley (JDV), menaiktaraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pembangunan industri nanas dan sawah padi, menaiktaraf fasiliti pasar tani kekal dan pembangunan agropelancongan serta memperkasa belia tani di Negeri Johor.

 

Kerajaan Johor memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program atau projek berkenaan berjaya dilaksanakan demi memartabatkan lagi sektor agromakanan di negeri ini dan Malaysia amnya malah diyakini akan menghasilkan limpahan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.

 

#KeterjaminanMakanan
#KPKM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor