JOHOR TANGKAK CUP 2025 SERLAH BAKAT AKAR UMBI WANITA

Akademi Tunas (AT) Wanita Johor A merangkul gelaran juara pada Kejohanan Johor Tangkak Cup 2025 bagi kategori Cup Wanita. | Foto Pejabat Daerah Tangkak

 

#Tangkak – Akademi Tunas (AT) Wanita Johor A mengukir kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Johor Tangkak Cup 2025 bagi kategori Cup Wanita selepas menewaskan pasukan Velocity B dalam aksi akhir yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

 

Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa bakat wanita dalam arena sukan bola sepak terus menyerlah dan wajar diberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk berkembang, selain menggalakkan penglibatan aktif anak muda dalam bidang sukan.

 

Kejohanan anjuran berformat karnival selama dua hari ini juga berjaya menarik penyertaan sebanyak 43 pasukan dari seluruh Johor yang merangkumi 35 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Cup dan Plate.

 

Bagi kategori wanita, pasukan Sime Darby dan Velocity A masing-masing berkongsi tempat ketiga dalam kategori Cup, manakala Ledang Warriors Academy A pula muncul juara kategori Plate Wanita selepas menewaskan Akademi Tunas Wanita B, sementara Pasukan Melati FC dan Ledang Warriors Academy B pula berkongsi tempat ketiga.

 

Bagi Kategori lelaki pula, Akademi JDT unggul sebagai juara kategori Cup selepas menewaskan Pasir Gudang City, manakala Akademi Tunas Muar dan Akademi Tunas Johor Bahru pula berkongsi tempat ketiga.

 

Sementara itu dalam kategori Plate Lelaki, DTC-JDT Kids Kota Tinggi muncul juara, diikuti DTC-JDT Kids Kluang sebagai naib juara, manakala DTC-JDT Segamat dan Skrin FC di tempat ketiga secara bersama.

 

Kehadiran ramai pemain muda berbakat menyemarakkan lagi kejohanan yang bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat tetapi juga platform penting dalam mencungkil potensi pemain pelapis negeri dan pembangunan sukan akar umbi yang inklusif dan menyeluruh, sejajar dengan aspirasi negeri melahirkan atlet berprestasi tinggi.

 

Terdahulu, YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang turut diiringi oleh Encik Nizam Ahmad, Pegawai Operasi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) selaku wakil rasmi YBhg. Tuan Haji Mohd Anizam Jamian, Setiausaha Kehormat PBNJ.

 

#SukanMDJ
#BolaSepakWanitaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor