RM3 JUTA BANTU USAHAWAN IAT JOHOR
Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM3 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor untuk melaksanakan program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani (IAT) melibatkan bantuan dan bimbingan yang memberi manfaat kepada 300 usahawan sekali gus memperkasa sektor agromakanan pada tahun ini.
Antara bentuk bantuan dan bimbangan tersebut adalah kursus dan latihan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kemahiran, akses pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran, pembangunan produk dan penjenamaan selain insentif pembangunan teknologi serta mekanisasi.
Usahawan IAT yang dibantu pada tahun lalu, menyifatkan inisiatif disediakan amat membantu dalam aspek pembungkusan lebih menarik serta meningkatkan pengeluaran sehingga berjaya mengembangkan pemasaran produk bukan sahaja di negeri ini dan dalam negara malah ke Singapura dan Indonesia.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Perasmian Karnival Jualan Usahawan IAT 2024 di Angsana Mall Johor Bahru yang berlangsung tiga hari dengan sasaran nilai jualan lebih RM400,000.
Pada majlis sama, Kerajaan Johor turut menyampaikan insentif Program Pembangunan IAT bernilai keseluruhan RM284,930 kepada 13 usahawan merangkumi bantuan mesin dan peralatan, naik taraf bengkel pemprosesan makanan serta pembangunan teknologi dan inovasi pembungkusan produk IAT.
Turut hadir, YBhg. Johari Abdullah, Pengarah Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian; YBhg. Yosri Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor; YB Suhaizan Kaiat, Ahli Parlimen Pulai serta Ybhg. Mohd Hafiz Ramly, Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Negeri Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPanas
#MajuJohor