MPK-GIC BANTU ATASI ISU CEROBOH TANAH


Majlis Perbandaran Kluang (MPK) hari ini melancarkan sistem MPK-Geospatial Information Centre (GIC) yang digunakan untuk mengenal pasti keadaan tanah di kawasan pentadbiran itu. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bagi mengatasi isu pencerobohan dan pelaksanaan kerja tanah tanpa kebenaran yang berlaku di Kluang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia melancarkan sistem MPK-Geospatial Information Centre (GIC).

 

Sistem dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) itu menyediakan maklumat geospatial muka bumi berteraskan teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang terkini.

 

Menerusi sistem MPK-GIC, segala maklumat berkaitan tanah di sesuatu kawasan dapat dikenal pasti sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi penduduk selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PBT berkenaan kepada rakyat di kawasan pentadbiran mereka.

 

Setiap aduan mengenai isu tanah yang diterima akan diteliti dan kemudian disalurkan kepada enam jabatan utama MPK dengan menggunakan sistem berkenaan untuk mentafsir maklumat seterusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dilaporkan.

 

Enam jabatan berkenaan adalah Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan serta Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Sistem MPK-GIC dan menerima penyerahan Pelan Strategik MPK 2023-2027 di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Jalan Mengkibol.

 

Hadir sama, YBhg. Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Daerah Kluang; YBhg. Azurawati Wahid, Yang Dipertua MPK serta YBrs. Gs. Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah MYSA.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor