RMMJ REALISASI HASRAT MILIKI RUMAH


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Rumah Bandar Laman Putra. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Impian memiliki kediaman sendiri yang selesa akhirnya menjadi realiti apabila 346 pembeli Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Rumah Bandar Laman Putra, dekat Kulai hari ini menerima kunci rumah masing-masing.

 

Pembeli RMMJ kategori B rumah bandar atau ‘town house’, Mazuan Midin dan isterinya Nur Haliza Johari tidak menyangka impian untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan apabila terpilih untuk mendapat unit kediaman RMMJ berkenaan yang disifatkannya sebagai cantik, berkualiti dan harganya yang mampu dimiliki.

 

Bukan sahaja tawaran rumah pada harga rendah, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) juga menyediakan baucar RM1,000 kepada pembeli yang telah menerima Surat Serahan Milikan Kosong bagi membolehkan mereka mengambil kunci unit kediaman masing-masing.

 

Inisiatif Kerajaan Johor untuk membina lebih banyak kediaman mampu milik disambut baik seorang pembeli Chai Pei En, 23, yang turut berbesar hati apabila inisiatif berkenaan secara tidak langsung turut merealisasikan impiannya untuk memiliki kediaman sendiri pada usia yang muda.

 

Bagi Nur Haliza Johari, 28, proses permohonan pembelian RMMJ secara atas talian di portal eRumah Sistem Perumahan Johor tidak mengambil masa yang lama untuk diluluskan dan seterusnya membolehkan dirinya menduduki rumah bernilai RM80,000 yang turut dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 

Strategi Pembangunan Perumahan Rakyat di dalam Belanjawan Johor 2024 menjadi cerminan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan Bangsa Johor mempunyai kediaman selesa pada harga mampu milik dengan sebanyak 4,405 unit RMMJ disasarkan untuk dibina di Daerah Kulai sehingga tahun 2026.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Rumah Bandar Laman Putra, di sini, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor