RUMAH TERAPUNG UTHM ALTERNATIF ATASI MASALAH BANJIR


Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Seminar Rumah Terapung bagi memperkenalkan konsep rumah terapung sebagai alternatif kepada masyarakat yang kediamannya sering dilanda banjir / Gambar Ihsan UTHM.

 

BATU PAHAT — Pengalaman dan pengamatan terhadap masalah banjir yang sering melanda negara ini menyebabkan sekumpulan mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif menganjur Seminar Rumah Terapung.

Ia adalah bertujuan untuk memperkenalkan konsep kediaman terbaharu sebagai alternatif kepada masyarakat khususnya bagi penduduk yang sering terjejas dengan bencana banjir.

Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti UTHM, Syukri Yazed, berkata idea ini timbul selepas mendapati fenomena banjir sering berlaku di negara ini setiap tahun.

Katanya, pelbagai bantuan seperti penempatan, makanan, keperluan harian dan kewangan diberikan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan dan kehilangan harta benda.

“Namun kita juga perlu mempunyai satu usaha lain bagi membantu mangsa banjir terutama mereka yang sering dipindahkan dari rumah mereka ke tempat yang lebih selamat berikutan kediaman mereka digenangi air banjir.

“Justeru, satu seminar yang dikendalikan oleh 34 pelajar kursus berkenaan telah diadakan pada Januari lalu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membina satu kediaman yang selamat daripada bencana itu,” katanya pada Seminar Rumah Terapung di UTHM di sini.

Hadir sama ialah Dekan PPUK, Dr Lutfan Jaed dan Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Dr Mohd Azhar Harimon.

Syukri berkata, seminar hasil daripada pelaksanaan projek ‘Sustainable Engagement Projectl’ (SEP) yang pertama kali ini diperkenalkan oleh Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum (PPUK) dalam usaha menerapkan salah satu daripada 17 nilai ‘Sustainable Development Goal (SDG).

“Projek ini memberi tumpuan kepada inovasi reka bentuk dan fungsi rumah terapung bagi mengatasi masalah banjir sekali gus sebagai usaha mencapai matlamat nilai SDG yang ke-13 iaitu ‘Climate Action’,” katanya.

Sementara itu, Lutfan dalam ucapannya berkata, perkongsian ilmu seumpama itu adalah permulaan kepada pelajar untuk menghasilkan suatu produk yang boleh dikomersial dan dibentangkan kepada pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat mewujudkan satu penempatan yang selamat terutama di kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan banjir.

“Walaupun ia adalah projek rintis, masih banyak perkara yang perlu diperincikan terutama penggunaan bahan binaan dan sistem model perumahan berkenaan sebelum ia dipraktikan sebagai sebuah kediaman,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor