‘SAF’ PACU JOHOR KE ARAH TEKNOLOGI BAHAN API DI PERINGKAT GLOBAL

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) Pertama di Malaysia di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Johor. | Foto Nurina Aisyah

#JohorBahru – Kerajaan Negeri bertekad memperkukuh kedudukan Johor dalam memacu teknologi bahan api melalui pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) pertama di Malaysia yang dihasilkan oleh Syarikat Global EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.

Langkah ini merupakan antara penyelesaian praktikal dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon daripada sektor penerbangan, sejajar dengan matlamat mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, sekali gus menjadikan Johor sebagai hab utama dalam penggunaan dan pembangunan teknologi tenaga bersih.

Berkapasiti 350,000 tan, kemudahan ini dilihat berupaya menghasilkan bahan api SAF, diesel boleh diperbaharui dan produk berasaskan bio untuk pasaran global, namun keutamaan diberikan kepada syarikat yang menjadikan pelaburan utama mereka sama ada di Johor atau negeri lain di Malaysia.

Melalui pengoperasian EcoCeres ini, Johor bukan sahaja memperkukuh pembangunan ekonomi tetapi juga meneguhkan peranan negeri ini sebagai peneraju dalam sektor peralihan tenaga serantau serta meluaskan pelaburan antarabangsa yang mampan dan kompetitif.

Terdahulu, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) Pertama di Malaysia di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Johor.

Hadir sama ialah YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

#JohorSafeZone
#EcoCeres
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor