SASAR BINA 500 RUMAH KASIH JOHOR DALAM 5 TAHUN
JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menyasarkan pembinaan 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) untuk golongan miskin tegar di negeri ini, dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, bermula September ini, sebanyak 50 buah unit RKJ bakal dibina dengan peruntukan sebanyak RM6.5 juta.
“Kita telah melantik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ) sebagai kontraktor yang akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada 1 September tahun ini, dan dijangka selesai pada bulan Mac atau April 2024.
“Syarat penerima ialah mesti memiliki kad e-Kasih atau tanah. Kita memang memberi fokus kepada golongan miskin tegar dan ada tanah.
“Purata setiap daerah akan ada empat atau lima orang penerima untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.
Mengulas mengenai penganjuran JPEX 2023, Mohd Jafni berkata, ekspo tersebut telah membantu rakyat mengetahui lebih lanjut berkaitan pembelian rumah.
“Sebenarnya, di sini mereka boleh minta nasihat melalui PKPJ dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), boleh juga bertanya dengan bank yang ada berapa nilai bersih yang perlu ada untuk beli rumah.
“Jadi, ekspo ini bukan hanya tertumpu kepada jualan hartanah, (tetapi) khidmat nasihat, perancangan akan datang dan ada rumah yang akan siap dalam tempoh dua, tiga tahun dari sekarang untuk mereka merancang pembelian rumah,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor