KERAJAAN LULUS PERUNTUKAN KHAS RM43 JUTA UNTUK JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz, berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk pelbagai projek pembangunan seperti kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan sekolah. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM43 juta untuk Negeri Johor.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan tersebut bagi kerja naik taraf dan penyelenggaran sekolah di seluruh negeri ini.

 

Menurutnya, selain itu, peruntukan berkenaan juga meliputi peruntukan khas kepada 10 Pejabat Daerah untuk pelaksanaan projek serta wakil-wakil rakyat Johor.

 

“Terima kasih Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan khas sebanyak RM43 juta kepada Negeri Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Ahad.

 

Terdahulu, Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Johor di Kota Iskandar, di sini.

 

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor; Pengarah Pembangunan Negeri Johor merangkap Setiausaha Mesyuarat MTPNg Johor, Rahman Mohd Din; Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan dan Agensi.

 

Onn Hafiz berkata, menerusi mesyuarat berkenaan, pelbagai projek pembangunan di negeri ini yang dibincangkan.

 

Ujarnya, antara projek pembangunan tersebut adalah naik taraf pengangkutan kereta api dan jalan raya, pembinaan infrastuktur pendidikan dan kesihatan serta agenda menokhtahkan miskin tegar.

 

Selain itu, beliau memberitahu berdasarkan laporan dijana melalui sistem MyProjek sehingga 20 Julai lalu, peruntukan bagi Rolling Plan 3 (RP3) RMKe-12 adalah sebanyak RM32.841 bilion melibatkan 518 projek atau program bagi negeri ini.

 

“Hal ini menunjukkan tekad Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan, dalam menyediakan projek-projek berimpak tinggi. Namun, rakyat di luar bijak menilai, dan saya menegaskan serta menyeru seluruh jabatan dan agensi, supaya serius dalam menyiapkan projek-projek mengikut jadual.

 

“Semoga segala perancangan demi memajukan Negeri Johor dapat direalisasikan dan saya doakan agar seluruh Bangsa Johor merasai segala pembangunan yang dirangka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor