SEDEKAD ISTIADAT KEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada tanggal 23 Mac 2015 di Istana Besar, Johor Bahru – Sumber Foto: Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor.
Oleh – YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman
Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor
1. Tanggal 23 Mac 2015 merupakan detik bersejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dimahkotakan sebagai Sultan Johor Moden Kelima manakala KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor dalam satu istiadat kemahkotaan yang penuh tradisi di Istana Besar, Johor Bahru.
2. Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor merupakan warisan bersejarah dimulakan oleh Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada 29 Julai 1886 dan ia kelihatan berbeza dengan Istiadat Pertabalan Raja-Raja Melayu lain kerana lazimnya, Sultan Johor yang telah dipilih akan mengangkat sumpah jawatan terlebih dahulu selepas kemangkatan Sultan terdahulu disusuli Istiadat Kemahkotaan yang diadakan kemudiannya.
3. Menelusuri tawarikh 10 tahun yang lalu, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan ia disusuli dengan berlangsungnya Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Kelima penuh gemilang yang telah diadakan lima tahun kemudian iaitu pada tahun 2015.
4. Meskipun Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor adalah seakan mirip Istiadat Kemahkotaan bagi Raja dan Permaisuri British, namun terdapat perbezaan di mana mahkota Sultan Johor yang diperbuat daripada batu permata bernilai tinggi dan berprestij ini mempunyai bulan sabit dan bintang yang melambangkan ketinggian agama Islam sebagai agama negeri seterusnya dipakaikan oleh Mufti Johor.
5. Uniknya Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor melibatkan persiapan dan pelaksanaan Majlis Istiadat DiRaja dengan penuh rapi, tersusun, tertib dan lancar yang bersifat eksklusif dengan mengekalkan budaya istana ini turut menjadi istiadat bagi mengabsahkan kedudukan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Raja Pemerintah yang berdaulat dan Ketua Agama Islam di Johor.
6. Mudah didampingi rakyat jelata daripada segenap lapisan masyarakat persis gelaran ‘Sultan Berjiwa Rakyat’, kebitaraan kepemimpinan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tiada tolok bandingnya malah diyakini mampu mengemudi dan menerajui negeri bahkan negara ke arah kemajuan, keamanan dan kemakmuran seiring Kesultanan Johor Moden yang berusaha membina sebuah negara-bangsa sejak tahun 1855.
7. Dalam konteks ini, pembinaan sebuah negara-bangsa seperti diaspirasikan oleh Kesultanan Johor Moden ini merintis kepada pembentukan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang strategik, cekap dan berkesan sekali gus turut meliputi kemajuan pendidikan, ekonomi, perdagangan serta pembangunan sosial demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama.
8. Perpaduan rakyat, kestabilan politik dan sosial merupakan kunci utama bagi menjayakan pembangunan sebuah negara-bangsa di mana hal ini dapat dilihat sepanjang pensejarahan Johor yang panjang, unik dan istimewa malah menjadi hakikat diilhamkan oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar semua pihak di peringkat negeri mahupun negara saling bekerjasama demi kesejahteraan rakyat.
9. Sehingga ke hari ini, Negeri Johor dan Malaysia amnya berada di jalan yang tepat menuju ke arah kemajuan berdasarkan banyak indikator menunjukkan pencapaian negeri mahupun negara yang memberangsangkan antaranya dari sudut pembangunan infrastruktur dan prasarana, hubungan baik Kerajaan Negeri dan Persekutuan, tadbir urus terbaik oleh Kerajaan serta peningkatan kemasukan pelaburan dan pelancong asing.
10. Kesemua pencapaian positif ini menterjemahkan kebijaksanaan dan sumbangan besar kepimpinan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai ‘payung’ negeri dan negara. Sedekad Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Kelima, semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan yang berpanjangan kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kedaulatan.
Allah Peliharakan Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Agong.
#YDPAgong
#10TahunKemahkotaanSultanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor