SEGAMAT, KLUANG DIIKTIRAF BANDAR PELANCONGAN BERSIH ASEAN

Pengiktirafan tersebut diterima pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Putrajaya, pada 15 Oktober lalu. | Foto MOTAC Johor
#IskandarPuteri – Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menerima Anugerah Standard Bandar Pelancongan Bersih ASEAN bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengiktiraf usaha yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam memperkukuh kebersihan dan kelestarian destinasi pelancongan di Johor.
Pengiktirafan tersebut diterima pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Putrajaya, pada 15 Oktober lalu.
MPS menerima pengiktirafan berkenaan hasil komitmen berterusan dalam memperkukuh kebersihan, pengurusan persekitaran dan kelestarian kawasan pelancongan bagi menjadikan Segamat destinasi yang bersih, selesa dan menarik untuk dikunjungi.
Sementara itu, MPK berjaya memenuhi kriteria penilaian Standard Bandar Pelancongan Bersih ASEAN yang dilaksanakan oleh MOTAC pada September 2025, sekali gus melayakkan Kluang menerima pengiktirafan bagi tempoh tiga tahun tersebut.
Pencapaian kedua-dua PBT itu mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan kualiti persekitaran bandar, selain menjadi pemangkin untuk memperkukuh kedudukan Segamat dan Kluang sebagai destinasi pilihan pelancong di negeri ini.
Standard Pelancongan ASEAN memberikan penekanan terhadap aspek kualiti, kebersihan dan keselamatan produk serta perkhidmatan pelancongan, di samping kelestarian alam sekitar dan manfaat pembangunan pelancongan kepada komuniti setempat.
Pengiktirafan itu turut menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh daya tarikan pelancongan Johor, khususnya bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.
Terdahulu, anugerah berkenaan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kepada YBhg. Tuan Mohd Helmi Dato’ Sha’ri @ Shangari, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat, dan YBhg. Tuan Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, pada majlis yang menghimpunkan 41 penerima pengiktirafan bagi meningkatkan kualiti dan kelestarian industri pelancongan negara.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#BandarPelanconganBersihASEAN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


