SEMANGAT, KEHARMONIAN BANGSA JOHOR WAJAR DICONTOHI


Bangsa Johor. | Foto MDJ

 

“Konsep Bangsa Johor masih kekal relevan hingga hari ini terutama selepas melihat kepada isu mengenai polarisasi kaum yang semakin meningkat secara berterusan. Bangsa Johor bermaksud semua orang bertanggungjawab untuk membangunkan Johor di samping menghormati budaya dan agama masing-masing kerana kita mahu setiap orang hidup dalam aman dan makmur,” demikian titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 27 Ogos 2016.

 

Justeru, tidak menghairankan apabila konsep yang menggabungkan keharmonian kaum, semangat perpaduan dan toleransi antara satu sama lain menjadi tunjang kepada kekuatan konsep Bangsa Johor dan kini ia dilihat wajar untuk dijadikan contoh serta diangkat ke peringkat nasional, sekali gus dapat membantu mengatasi masalah defisit sosial di Malaysia.

 

Profesor Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyifatkan semangat perpaduan yang diamalkan oleh Bangsa Johor patut dijadikan sebagai contoh teladan terbaik bagi melahirkan semula suasana harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini.

 

Keistimewaan konsep Bangsa Johor yang meliputi keragaman budaya, kesinambungan tradisi, kepimpinan berwawasan, semangat gotong royong dan komitmen tinggi terhadap semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat merupakan kunci utama kepada kestabilan dan kemajuan yang dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

 

Baginya, konsep Bangsa Johor merupakan semangat perpaduan atau satu identiti yang diterima serta diamalkan secara meluas di Johor, di mana ia boleh dilihat dengan jelas terutamanya menerusi sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Selain itu, Mohd Azhar juga menolak pemikiran sempit yang menganggap kononnya konsep Bangsa Johor boleh mengancam keharmonian rakyat Malaysia dengan menyifatkan konsep tersebut sebenarnya adalah amat selari dengan nilai kebangsaan yang menyokong integrasi dan perpaduan kaum di Malaysia dan tidak harus disalah tafsir secara jumud yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

 

Malah, istilah tersebut sebenarnya merujuk kepada konsep yang menekankan perihal kesetiaan terhadap Negeri Johor yang sudah terkenal dengan rakyatnya yang bersatu padu dan berperadaban, sekali gus menjadi asas terbinanya sebuah Bangsa Johor yang harmoni.

 

Justeru, melihatkan kepada kejayaan konsep Bangsa Johor yang sudah bertahan lebih 100 tahun itu, beliau turut mencadangkan agar usaha berterusan perlu digerakkan serta diperkasa oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah defisit sosial dengan menggunakan platform pendidikan dan program integrasi sosial antara komuniti serta penguatkuasaan undang-undang yang ketat khususnya berkaitan isu 3R (Kaum, Raja dan Agama).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor