SEMARAK SUBUH JOHOR MASUK TAHUN KETIGA

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.92 juta dalam Belanjawan Johor 2026 bagi Program Semarak Subuh Johor, dengan pelaksanaan ditingkatkan kepada tiga kali seminggu. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus berikhtiar membina kekuatan rohani dan menyemai budaya Subuh berjemaah dalam kalangan umat Islam di seluruh negeri ini menerusi Program Semarak Subuh Johor Tahun 2026 yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

 

Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026 ini diteruskan dengan pelaksanaan sebanyak tiga kali seminggu bagi mengimarahkan masjid serta membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin dan seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.

 

Program ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mengimarahkan masjid dan memperkukuh budaya Subuh berjemaah, sekali gus mencerminkan kepentingan keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat dalam pembinaan masyarakat yang bertanggungjawab serta berdaya maju.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menunaikan solat Subuh berjemaah bersama ratusan jemaah di Masjid Habib Hassan Al-Attas sebelum mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh YBrs. Al-Fadhil Ustaz Haji Ishaq Hanis Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), baru-baru ini.

 

Selain itu, Menteri Besar Johor turut mengajak seluruh rakyat di negeri ini agar terus berazam dan istiqamah dalam memperbaiki diri serta memastikan setiap amalan duniawi memberi manfaat kepada kehidupan akhirat.

 

Dalam Belanjawan Johor 2026 di bawah Teras Pertama: Tadbir Urus Kerajaan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.92 juta bagi menjayakan Program Semarak Subuh Johor pada tahun ini, dengan kekerapan pelaksanaannya ditingkatkan daripada dua kepada tiga kali seminggu.

 

#JohorSafeZone
#SemarakSubuhJohor
#SubuhMacamJumaat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor