SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI JOHOR TINJAU OPERASI PPS DI MERSING
YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor meninjau situasi semasa pengurusan mangsa banjir Monsun Timur Laut Daerah Mersing di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Endau, Mersing. | Foto Pejabat Daerah Mersing
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor komited dalam memastikan soal kebajikan dan keselamatan mangsa banjir di negeri ini akan terus diberikan keutamaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
Komitmen ini dapat dilihat menerusi lawatan rasmi YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang meninjau sendiri situasi semasa pengurusan mangsa banjir Monsun Timur Laut Daerah Mersing di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Endau, Mersing.
Lawatan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor ini bertujuan untuk memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa banjir sentiasa terpelihara, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan operasi pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam sesi lawatan tersebut, YB Dato’ Asman Shah turut mendengar taklimat menyeluruh mengenai status semasa banjir daerah Mersing yang kini membabitkan 356 mangsa banjir dari 93 keluarga yang berlindung di tiga PPS yang beroperasi di daerah berkenaan.
Pada lawatan sama, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan sumbangan peribadi serta bantuan kit bencana kepada mangsa yang sedang ditempatkan di PPS berkenaan.
Hadir sama ialah YBhg Tuan Haji Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing; Pegawai Tadbir Negeri Johor Daerah Mersing; Ketua-Ketua Jabatan Daerah Mersing; Penghulu Mukim serta Ketua Kampung yang terlibat.
#JohorSafeZone
#BanjirMersing
#SetiausahaKerajaanNegeriJohor
#SUKJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


