‘SHUTTLE BUS’ PERCUMA KE HSA DAN HSI


Kerajaan negeri melalui PAJ menyediakan perkhidmatan bas ulang alik percuma ke HSA serta HSI bermula pada 30 Oktober dan 1 November ini / Foto Ihsan PAJ

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan negeri Johor menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan kemudahan bas ulang-alik ke dua buah hospital utama di bandaraya ini bermula pada 30 Oktober dan 1 November ini.

Perkhidmatan bas secara percuma ini dijangka memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya mereka yang ingin mendapatkan rawatan atau berkunjung ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Inisiatif terbaharu kerajaan negeri ini juga adalah sebagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan dan masalah petak pakir kenderaan yang sering berlaku di kedua-dua hospital berkenaan.

Dalam kenyataan medianya, PAJ menjelaskan perkhidmatan bas ulang alik bagi laluan HSA akan mula beroperasi pada 30 Oktober ini bermula dari Terminal Larkin Sentral.

Ia akan melalui tiga hentian bas iaitu Jejantas Plaza Larkin, HSA dan berakhir di Klinik Kesihatan (KK) Mahmoodiah dengan tempoh kekerapan bas selama 15 minit pada sebelah pagi dan 30 minit (petang).

Bas ulang-alik percuma ini akan beroperasi lima hari seminggu iaitu dari Ahad hingga Khamis bermula dari jam 6.30 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke HSI pula akan mula beroperasi pada 1 November ini membabitkan laluan dari Lotus Tebrau yang akan melalui dua hentian iaitu HSI dan KK Sultan Ismail.

Ia membabitkan waktu operasi perkhidmatan bas dari jam 7 pagi hingga enam petang dengan tempoh kekerapan dan jumlah hari perkhidmatan yang sama.

Justeru, pihak PAJ berharap menerusi inisiatif terbaharu kerajaan negeri ini secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada masyarakat yang ingin mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan atau berkunjung ke kedua-dua hospital ini akan berjalan dengan lancar.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor