TEATER ‘MAGIKA’ CUNGKIL BAKAT PELAJAR DISLEKSIA

Pementasan teater MAGIKA : Pengembaraan Tanpa Penghujung akan dipentaskan pada 31 Mei dan 1 Jun ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Gerak Teater Johor bakal mementaskan teater MAGIKA : Pengembaraan Tanpa Penghujung mengisahkan Haykal dan Hadi, dua beradik yang diculik ke alam fantasi oleh penuggu hutan dengan penyertaan seramai 47 murid sekolah sekitar Johor Bahru dan Kulai sebagai pelakon serta penari.

 

Produksi yang juga melibatkan seorang pengetua, guru dan karyawan teater Johor itu turut menampilkan Muhammad Izz Alfian Qalish Nasrin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera, seorang pelajar pendidikan khas sebagai pelakon tambahan bagi teater berdurasi satu jam 30 minit.

 

Teater yang akan dipentaskan pada 31 Mei dan 1 Jun itu menjadi simbol kolaborasi dan semangat komuniti apabila pasukan produksi menghimpunkan warga pendidikan untuk bersama dengan aktivitis teater Johor dalam menjayakan pementasan melibatkan empat persembahan selama dua hari.

 

Lebih menarik, teater dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Tourism Johor yang akan dipentaskan di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ itu menjadi platform menggilap bakat-bakat muda yang menjadi nadi masa hadapan seni negara.

 

Bagi Muhammad Izz Alfiann, 14, yang menghidap disleksia menyifatkan minat mendalam terhadap bidang lakonan mendorong dirinya untuk menceburi pementasan teater terutama MAGIKA sekali gus mengasah bakat dan membuka ruang membina keyakinan diri serta beraksi di hadapan penonton.

 

Sementara itu, Nur Salwiyani Yahya, 53, menyifatkan kekurangan Muhammad Izz Alfiann tidak menjadi penghalang untuk turut serta dalam pementasan teater berkenaan malah yakin dengan perkembangan positif ditunjukkan oleh anak lelakinya yang mampu berlakon dengan baik atas bimbingan dan dukungan guru-guru.

 

Terdahulu, berlangsungnya sidang media MAGIKA : Pengembaraan Tanpa Penghujung anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Gerak Teater Johor dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan, YWJ dan Tourism Johor bagi mempromosikan pementasan teater berkenaan di Galeri Seni Johor, YWJ.

 

#MAGIKA
#YWJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor