TERIMA KASIH PEMBAYAR ZAKAT, MAINJ
#IskandarPuteri – “Alhamdulillah, saya tidak menyangka permohonan untuk mendapatkan bantuan zakat untuk Skim Bantuan Hemodialisis akhirnya berjaya. Terima kasih pembayar zakat dan juga pihak Majlis Agama Islam Johor (MAINJ),” kata Hasmah Ismail.
Hasmah Ismail, 72, berkata beliau bersyukur kerana mendapat bantuan rawatan hemodialisis bernilai RM71,520 setahun bagi merawat penyakit buah pinggang tahap lima yang ditanggungnya sejak setahun yang lalu di Pusat Hemodialisis MAINJ.
Bagi Nur Aireen Qistina Iszuan, 16, memberitahu beliau turut bersyukur mendapat Skim Bantuan Perubatan Pelbagai daripada pihak MAINJ berjumlah RM65,000 setahun bagi menampung kos rawatan berkaitan penyakit radang kulit yang dialaminya sejak berusia lima tahun.
Katanya, menerusi bantuan itu bukan sahaja membolehkannya mendapat kemudahan rawatan kesihatan yang lebih sempurna tetapi juga meringankan beban kewangan ibu bapanya yang selama ini menanggung kos rawatan yang agak tinggi.
Terdahulu, telah berlangsungnya Perasmian Pembayaran Zakat, Pemberian Bantuan Zakat dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Agrobank di Fraser Place Iskandar Puteri. Turut hadir pada program itu ialah YB Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor; YB Dato’ Dr. Nooh Gadot, Penasihat MAINJ dan Tuan Haji Nasri Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, hari ini.
Untuk rekod, MAINJ telah membuktikan kecekapan dan integritinya melalui pencapaian kutipan dam agihan zakat yang memberangsangkan apabila sebanyak RM367.5 juta dikutip pada 2022 dan RM388 juta pada 2023. Agihan zakat ini juga turut mencatatkan peningkatan apabila sejumlah RM360.4 juta pada 2022 dan RM390.4 juta turut diagihkan kepada golongan asnaf yang layak demi manfaat serta kesejahteraan golongan berkenaan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor