TERIMA KASIH TUANKU, HIDUP KAMI LEBIH SELESA


Rumah keluarga Khatijah Ibrahim yang dikurniakan bantuan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor. | Foto MDJ Dania Farisya

 

“Alhamdulillah syukur pada Allah dan kami berterima kasih kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor kerana mengurniakan patik bantuan membaiki rumah hingga membolehkan kehidupan kami lebih selesa,” kata penduduk Kampung Sri Paya Kulai, Khatijah Ibrahim.

 

Khatijah, 67, yang tinggal bersama suaminya, Bahrudin Imam, 80, yang kini hilang penglihatan akibat terkena racun rumpai ketika bekerja di ladang sawit suatu ketika dahulu dan juga anaknya perempuannya, Norini Bahrudin, 38, yang juga golongan kurang upaya (OKU) berkata, beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlintas dapat bersua dengan DYMM Permaisuri Johor.

 

“Sebelum ini saya sudah 10 tahun menyewa rumah di kampung ini sebelum terpilih untuk menduduki kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada Ogos tahun lalu. Lebih menggembirakan, keluarga saya turut terpilih sebagai penerima bantuan daripada DYMM Sultan Johor dan Permaisuri Johor untuk membaik pulih rumah berkenaan yang kini dalam keadaan yang lebih selesa.

 

“Paling tidak dilupakan apabila DYMM Permaisuri Johor sudi mencemar duli untuk berangkat rumah saya. Gembiranya saya apabila mendapat tahu keberangkatan baginda ini menyebabkan saya terjatuh dan mengalami bengkak kaki kerana dalam keadaan kelam kabut dan sangat teruja untuk menerima kehadiran insan yang kami sayangi. Pada kunjungan itu, Baginda Tuanku Permaisuri sempat berseloroh dengan saya kerana kami secara kebetulan berpakaian berwarna hijau dan baginda juga bertanyakan keadaan kami,” katanya.

 

Khatijah berkata, beliau sekeluarga mendoakan semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya kepada DYMM Sultan Johor, DYMM Permaisuri Johor serta kerabat diraja atas kebaikan yang dihulurkan dan berharap semua rakyat turut mendapat kesejahteraan di bawah payung pemerintahan baginda berdua kelak.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor