TINDAKAN PANTAS TANGANI PENCEMARAN LEMBANGAN SUNGAI JOHOR

Kenyataan media Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerusi Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bertindak pantas bagi menangani insiden pencemaran air mentah yang dikesan berlaku di Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi, hari ini.

 

Siasatan awal mendapati kejadian pencemaran air berkenaan berpunca apabila kolam cucian pasir milik sebuah syarikat perlombongan pasir darat tempatan pecah akibat pergerakan tanah hingga menyebabkan kualiti air di beberapa bahagian sungai berkenaan terjejas.

 

Pemantauan pihak berwajib mendapati paras kekeruhan air di Sungai Johor, Kota Tinggi merekodkan peningkatan sehingga 37,400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik), jauh melebihi paras normal iaitu pada tahap sekitar 400 NTU, sekali gus berisiko menyebabkan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) seperti LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB (Singapura) terjejas.

 

Keadaan ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai dijangka mengalami gangguan sementara bekalan air tidak terancang, namun Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan telah mengambil inisiatif dengan meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi tujuan pencairan kesan pencemaran dan pada masa sama menyalurkan bekalan air alternatif ke kawasan terjejas, sekali gus mengurangkan kesannya kepada pengguna.

 

Justeru, penduduk di kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak terancang ini dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya dan menggunakan bekalan sedia ada secara berhemah sehingga keadaan pulih sepenuhnya. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pencemaran sumber air di negeri ini.

 

Sehingga kini, usaha pemulihan pencemaran air di sungai berkenaan sedang giat dijalankan secara bersepadu bagi memastikan bekalan air kembali stabil. Sebarang perkembangan terkini berkaitan isu berkenaan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor, BAKAJ dan Ranhill SAJ dari semasa ke semasa.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor